KOTA KINABALU: Jumlah penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai dan Parlimen Kalabakan mencatat peningkatan kepada lebih 6,800 Ketua Isi Rumah (KIR) pada tahun ini, selaras dengan komitmen kerajaan negeri memperluaskan bantuan kepada golongan miskin.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, Program SYUKUR kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya dengan melibatkan seramai 140,000 penerima di seluruh Sabah bagi tahun 2026.
Menurutnya, di DUN Merotai, jumlah penerima bantuan bulanan RM200 meningkat daripada 993 Ketua Isi Rumah (KIR) pada tahun 2025 kepada 1,624 KIR pada tahun ini.
“Bagi Parlimen Kalabakan pula, jumlah penerima meningkat daripada 3,254 Ketua Isi Rumah pada tahun 2025 kepada 5,263 Ketua Isi Rumah pada tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Merotai, Sarifuddin Hata pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Katanya, peningkatan jumlah penerima itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri memastikan lebih ramai rakyat yang layak menerima bantuan bagi meringankan kos sara hidup.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri kekal komited memperkukuh pelaksanaan Program SYUKUR serta pelbagai inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan rakyat.