KOTA KINABALU: Seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat etnik pribumi di Sabah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan membabitkan peruntukan pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus bernilai RM2 juta.
Tertuduh, Makinsos Nawai, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar 2022 di Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus, Kota Marudu.
Dia didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai badan awam bagi mendapatkan suapan untuk dirinya sendiri menerusi peruntukan pembinaan projek berkenaan yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan Sabah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan berkenaan tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi persatuan, sedangkan dia mempunyai kepentingan dalam pengurusan permohonan peruntukan serta pelaksanaan projek itu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan deposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Po Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam daripada firma Ram Singh Harbans & Co.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan untuk pengurusan kes.