KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, termasuk dakwaan serangan seksual dan buli di tempat kerja yang membabitkan seorang pengarah hospital di negeri ini.
Dalam kenyataan media pada Khamis, JKNS memaklumkan siasatan terperinci berhubung dakwaan yang tular di media sosial itu telah selesai dijalankan oleh jawatankuasa khas yang dilantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan telah diperoleh dan syor tindakan susulan kini sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“JKNS memandang serius dakwaan ini dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya serangan seksual, gangguan serta buli di tempat kerja kerana ia bertentangan dengan nilai integriti dan etika perkhidmatan awam,” katanya.
JKNS berkata, perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan integriti organisasi, malah memberi kesan terhadap kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja kesihatan.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan komited untuk terus memperkukuhkan usaha memastikan setiap warga kerja dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat, saling menghormati serta kondusif.
Pada masa sama, JKNS memaklumkan proses pentadbiran berkaitan akan diteruskan secara teratur, adil dan selaras dengan peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
“JKNS turut menghargai kerjasama semua pihak dalam memberi ruang kepada proses yang sedang dilaksanakan sehingga selesai,” jelasnya.