Stor rokok seludup diserbu, rampasan lebih RM229,000

SANDAKAN: Kegiatan menyimpan rokok tidak berkastam di sebuah premis di pusat bandar ini terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, kelmarin.

Dalam serbuan di sebuah premis di Tingkat 10, Bangunan Baru Bandar Sandakan, Jalan Old Slipway itu, polis menemui 187,480 batang rokok pelbagai jenama termasuk rokok kretek dan rokok putih yang dipercayai tidak berkastam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, semua rokok berkenaan ditemukan di dalam dua bilik yang dijadikan stor penyimpanan.

“Kesemua rokok terbabit dirampas dengan anggaran nilai melebihi RM229,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 42 kes penyeludupan rokok dengan 30 tangkapan membabitkan jumlah nilai rampasan keseluruhan RM6,030,176.66.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan hasil negara.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan selain memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras secara menyeluruh.

“Usaha ini penting bagi memelihara keselamatan serta melindungi kepentingan ekonomi negara,” katanya.