TENOM: Daerah Tenom bakal menjadi tumpuan pelbagai acara sukan, pertanian, perikanan dan pelancongan sepanjang Ogos hingga November tahun ini yang dijangka mampu merancakkan ekonomi setempat serta menarik lebih ramai pengunjung.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sambutan luar biasa terhadap penganjuran Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala MABA–MATRIX Kali Ke-30 Tahun 2026 membuktikan Tenom berpotensi menjadi lokasi penganjuran acara bertaraf kebangsaan.
Beliau yang juga ADUN Melalap berkata, kejohanan itu merupakan kali pertama diadakan di Tenom dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peminat sukan bola keranjang.
“Bagi pihak warga Tenom, kita mengucapkan terima kasih kepada MABA dan SABA kerana memilih Tenom sebagai tuan rumah kejohanan kebangsaan ini.
“Ini merupakan kali pertama kejohanan bola keranjang kebangsaan diadakan di Tenom dan sambutannya cukup hebat. Kita berharap akan ada lagi penganjuran pada masa akan datang supaya lebih banyak aktiviti dapat diadakan di Tenom,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala MABA–MATRIX Kali Ke-30 Tahun 2026 di sini pada malam Jumaat (24 Julai).
Jamawi berkata, beberapa program utama telah disusun bermula Ogos hingga November membabitkan sektor sukan, pertanian, perikanan dan pelancongan.
Menurutnya, pada 3 hingga 7 Ogos, Tenom akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun Peringkat Negeri Sabah.
Katanya, pada 12 hingga 20 September, Pesta Bunga akan berlangsung di Taman Pertanian Sabah, diikuti Program Cintai Sungai Peringkat Negeri pada 26 September.
“Pada Oktober pula, Tenom akan menjadi tuan rumah Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Program Perkhemahan Peringkat Negeri Sabah.
“Seterusnya, Pesta Makanan akan diadakan pada November sebagai penutup kepada siri program yang telah dirancang.
“Kita berharap semua program ini bukan sahaja memeriahkan daerah Tenom, malah mampu merancakkan ekonomi tempatan melalui peningkatan kehadiran pengunjung serta aktiviti perniagaan,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah, Phan Chee Yong; serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Chu Cheong Sin.