Rumah dua tingkat musnah, Toyota Hilux rosak dalam kebakaran di Lahad Datu

LAHAD DATU: Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Sepagaya di sini, petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.44 petang itu, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux turut mengalami kerosakan akibat bahangan api.

Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Kadri Yansah, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan 12 anggota ke lokasi kira-kira tujuh kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.52 petang dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berukuran 30 x 40 kaki yang sedang marak.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada kawasan laut berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.31 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan selepas memastikan tiada lagi punca kebakaran atau bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 4.11 petang,” tambahnya.