Sidang media khas dedah butiran rampasan lebih 329kg syabu di Tawau, Semporna

SEMPORNA: Polis Sabah akan mengadakan sidang media Isnin ini bagi memperincikan kejayaan dua operasi membanteras pengedaran dadah yang membawa kepada rampasan lebih 329 kilogram syabu di Tawau dan Semporna, baru-baru ini.

Sidang media yang akan dipengerusikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna itu dijangka mendedahkan perkembangan lanjut berhubung kedua-dua kes berprofil tinggi berkenaan.

Berdasarkan jemputan rasmi yang diedarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, operasi di Tawau pada 12 Julai lalu membawa kepada rampasan 74.886 kilogram syabu, manakala operasi di Semporna sehari kemudian merampas 254.35 kilogram dadah yang disyaki methamphetamine. 

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan, sidang media itu turut dijangka menyentuh nilai keseluruhan rampasan, perkembangan siasatan, modus operandi sindiket serta tindakan susulan polis dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di Pantai Timur Sabah.