KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus mempergiat usaha menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang selesai menjalani hukuman apabila enam lagi tahanan dipindahkan ke negara asal melalui laluan udara, Khamis lalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pemindahan pada 30 Julai itu membabitkan lima lelaki dewasa warga Pakistan dari Depot Imigresen Papar yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Lahore, Pakistan.
“Pada masa sama, Depot Imigresen Tawau turut melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warga China menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Canton, China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebelum itu pada 28 Julai lalu, JIM Sabah turut menghantar pulang empat warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita dewasa dari Depot Imigresen Papar menerusi penerbangan terus dari KKIA ke Manila.
Beliau berkata, pada hari sama, seorang lagi lelaki dewasa warga China turut dipindahkan dari Depot Imigresen Papar ke Canton melalui penerbangan terus dari KKIA.
Sitti Saleha berkata, sehingga kini seramai 4,405 tahanan PATI sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing membabitkan 2,849 warga Filipina, 1,314 warga Indonesia, 113 warga Pakistan dan 92 warga China.
Katanya, semua tahanan berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang selain memiliki dokumen perjalanan (Travel Documents) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses penghantaran pulang.
Beliau berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat usaha mengurus pemindahan tahanan PATI secara berperingkat selaras dengan undang-undang serta kerjasama pihak kedutaan dan konsulat negara terbabit.
“Orang ramai diseru supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI dan segera menyalurkan maklumat kepada saluran rasmi JIM Sabah bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.