TAWAU: Kedudukan Tawau yang berhampiran sempadan antarabangsa tidak boleh dipandang ringan apabila daerah itu terus berdepan ancaman penyalahgunaan dadah, khususnya syabu, sehingga memerlukan usaha pencegahan diperkasakan secara menyeluruh.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penglibatan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Tawau dalam Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Ke-11 adalah antara pendekatan terbaik untuk mendekati masyarakat dan menyampaikan mesej antidadah secara lebih santai.
Menurutnya, penganjuran program bersama masyarakat mampu meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dadah selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
“Tanggungjawab memerangi dadah bukan hanya terletak pada kerajaan atau agensi penguat kuasa, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk NGO, ibu bapa dan masyarakat.
“Kita mahu memastikan anak-anak muda serta institusi keluarga terus dilindungi daripada ancaman penyalahgunaan dadah,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Memancing sempena FKAT Ke-11 anjuran PEMADAM Daerah Tawau, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Tawau dikenal pasti mempunyai beberapa lokasi panas berkaitan penyalahgunaan syabu dan keadaan itu menuntut tindakan berterusan daripada semua pihak.
Katanya, faktor kedudukan daerah itu yang berhampiran Filipina dan Indonesia turut membuka ruang kepada kemasukan pengaruh luar yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat.
“Kalau pengaruh yang datang itu baik, kita alu-alukan. Namun, kita bimbang jika budaya negatif dibawa masuk sehingga merosakkan masa depan anak-anak dan masyarakat,” katanya.
Mengulas FKAT Ke-11, Nizam berkata, festival itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana bukan sahaja mempromosikan kebudayaan pelbagai kaum, malah turut menjadi platform menyampaikan mesej sosial yang bermanfaat.
Beliau turut memuji usaha Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memancing, dron dan layang-layang bagi memeriahkan festival.
Katanya, FKAT berpotensi berkembang sebagai acara bertaraf antarabangsa dengan menarik lebih ramai penyertaan dari seluruh negara serta luar negara, sekali gus mengangkat Tawau sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya, harmoni dan perpaduan.