![]() |
| Dua mangsa rentung selepas Perodua Axia terbakar dalam sebuah kemalangan jalan raya pagi tadi |
KOTA KINABALU: Dua mangsa rentung dalam sebuah kenderaan Perodua Axia selepas berlaku kemalangan jalan raya di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi Jumaat.
Komander Operasi, PBK II Asama Saruddin berkata Perodua Axia itu terbakar sepenuhnya dipercayai berpunca daripada kemalangan yang berlaku bersama dua buah kenderaan lain.
“Kemalangan jalan raya itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Axia yang terbakar sepenuhnya dan mangsa rentung di dalamnya, Perodua Viva dan Toyota Vigo.
“Kedua-dua mangsa rentung berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut beliau pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 2.30 pagi dan lima anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi, serta dibantu oleh lima anggota daripada BBP Putatan.
“Semasa tiba di lokasi, anggota kita dapati bahawa ada dua lagi mangsa turut terlibat dalam kejadian itu, selain daripada dua mangsa yang rentung.
“Pemandu Perodua Viva, Mohammad Wardi Mohamood berumur 34 tahun dan pemandu Toyota Hilux, Walter Witjoanes berumur 22 tahun cedera ringan,” katanya lagi.
Identiti mangsa yang rentung bagaimanapun belum dapat dikenalpasti.
“Operasi menyelamat itu ditamatkan pada pukul 4.40 pagi tadi,” ujarnya.
