KENINGAU: Dua remaja lelaki berusia 13 dan 16 tahun yang dilaporkan lemas ketika mandi bersama rakan di Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, ditemukan meninggal dunia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, kedua-dua mangsa ditemukan pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Penyu pada hari kedua operasi SAR.
Menurutnya, operasi pencarian dimulakan semula pada jam 9 pagi dengan pasukan penyelamat dibahagikan kepada dua kumpulan.
“Pasukan penyelamat pertama menjalankan pencarian menggunakan kaedah water surface sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan kedua pula melakukan pencarian menggunakan kaedah sama dengan bantuan tali sepanjang 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Severinus berkata, pasukan PPDA melakukan selaman pertama pada jam 10.30 pagi sebelum mangsa pertama ditemukan pada jam 10.34 pagi.
“Mangsa pertama ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa kedua pula ditemukan pada jam 3.55 petang, kira-kira 80 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas dan turut diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Katanya, operasi SAR yang bermula pada Sabtu itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang tadi selepas kedua-dua mangsa ditemukan.