Lebih RM120 juta nilai rampasan dadah di Sabah dilupuskan

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah akan melupuskan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM120 juta di Negeri Sembilan tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pelupusan berkenaan membabitkan 5,732 kertas siasatan dengan jumlah keseluruhan rampasan melebihi satu juta gram.

Menurutnya, antara dadah yang akan dilupuskan ialah 370,223.042 gram syabu, 609,669.2 gram mitragynine, 24,104.15 gram kokain dan 3,518.04 gram ketamin.

“Turut dilupuskan ialah 2,970.17 gram ganja, 14.95 gram Eramin 5 dan 0.2 gram heroin.

“Kesemua barang kes ini membabitkan kertas siasatan yang sudah selesai dan proses pelupusan dilaksanakan mengikut peraturan serta prosedur ditetapkan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, ketika ini hanya terdapat satu lokasi pelupusan yang ditetapkan bagi barang kes dadah Kontinjen Sabah iaitu di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya, proses berkenaan perlu melalui beberapa peringkat dan dipantau pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Barang kes akan dibawa dari Sabah ke Negeri Sembilan oleh pihak yang diberi tanggungjawab kerajaan dan pergerakannya turut dipantau pelbagai pihak.

“Setakat ini, proses pelupusan barang kes dadah bagi Kontinjen Sabah tidak dilaksanakan di negeri ini, sebaliknya perlu dibawa ke Negeri Sembilan untuk tujuan pelupusan,” katanya.

Menurutnya, penghantaran barang kes bagi proses pelupusan kali ini dijadualkan bermula 1 September menerusi Pelabuhan Sepanggar ke Pelabuhan Klang, Selangor.

“Barang kes dijangka tiba pada 11 September, manakala majlis pelupusan rasmi dijadualkan pada 14 September di tapak pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd,” katanya.

Dalam pada itu, Jauteh berkata, kedudukan Sabah yang berhampiran negara jiran turut menjadikan negeri itu antara lokasi yang berpotensi digunakan sindiket sebagai laluan transit pengedaran dadah.

“Keadaan ini memudahkan pihak pengedar menjalankan aktiviti pengedaran ke destinasi seterusnya termasuk negara-negara jiran.

“Justeru, tindakan penguatkuasaan dan risikan berterusan perlu diperkukuh bagi memutuskan rangkaian pengedaran dadah,” katanya.

Sementara itu, Jauteh berkata, pihaknya sedang berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkaitan mengenai kemungkinan mewujudkan lokasi pelupusan barang kes dadah di Sabah pada masa akan datang.

Katanya, langkah itu berpotensi mengurangkan kos serta risiko keselamatan sepanjang proses penghantaran barang kes ke Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun, perkara itu perlu dikaji dengan teliti kerana kawasan yang dijadikan lokasi pelupusan perlu memenuhi pelbagai aspek keselamatan dan peraturan selain mengambil kira kesan sampingan kepada persekitaran.

“Kita sedang membincangkan perkara ini bersama kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi melihat kesesuaian untuk melaksanakan proses pelupusan di Sabah,” katanya.