KOTA KINABALU: Program Kampung Siaga 221 memperkasa kesiapsiagaan komuniti berhadapan dengan kecemasan atau bencana.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, komuniti kampung perlu dilengkapi pengetahuan serta kemahiran asas menyelamat bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum bantuan agensi penyelamat tiba ketika berlaku bencana.
“Program Kampung Siaga 221 memberi pendedahan kepada komuniti mengenai asas menyelamat termasuk bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) serta penggunaan peralatan menyelamat.
“Selain bertujuan mendekatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan masyarakat, program ini turut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membuat persediaan sebelum berlakunya bencana.
“Kalau kita ada sukarelawan yang terlatih di kampung, mereka inilah yang menjadi barisan hadapan kita untuk menyelamat sebelum agensi seperti APM, bomba dan lain-lain datang ke lokasi,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Program Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana di Kampung Kokol, Manggatal, di sini pada Sabtu.
Menurut Mustapha, pendekatan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM) membolehkan masyarakat terlibat secara langsung dalam mengenal pasti risiko serta meningkatkan keupayaan mereka menghadapi bencana.
“Persediaan, pengetahuan dan latihan perlu dilakukan lebih awal agar masyarakat benar-benar bersedia apabila berhadapan dengan sebarang situasi kecemasan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menerapkan kesedaran keselamatan dan kesiapsiagaan bencana kepada generasi muda sejak di bangku sekolah bagi memupuk minat terhadap aktiviti kesukarelaan.
Menurutnya, penglibatan APM di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi mampu membantu melahirkan generasi yang lebih peka terhadap keselamatan diri, keluarga serta komuniti.
Mustapha berharap program Kampung Siaga 221 dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kampung, khususnya kawasan yang berisiko menghadapi bencana.
“Komuniti yang telah mendapat pendedahan awal perlu mempraktikkan apa yang dipelajari dan sentiasa bersiap siaga untuk memastikan keselamatan rumah serta komuniti mereka,” jelasnya.
Program berkenaan turut melibatkan kerjasama ADTEC JTM Kota Kinabalu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menerusi program kesedaran keselamatan elektrik, pameran serta pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk.
Kampung Kokol merupakan kampung ketiga yang terlibat dalam pelaksanaan Program Kampung Siaga 221 bagi tahun ini selepas Tawau dan Sandakan, serta yang kesembilan di Sabah.
Hadir sama, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sabah, Mohd Yusoff Samad, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar Aizex Junior Simon yang juga Penyelaras Program Kampung Siaga 221, wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Inanam, Nickho Unui serta Ketua Kampung Kokol, Richard Daut Nasun.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)