Sejarah polis Sabah kini dipamerkan kepada orang awam

KOTA KINABALU: Sejarah kepolisan Sabah kini boleh diselusuri orang awam menerusi pembukaan Galeri Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepayan, yang dibuka kepada pengunjung mulai hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pembukaan galeri berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mengenali dengan lebih dekat perkembangan sejarah kepolisan Sabah menerusi pelbagai koleksi dan bahan yang dipamerkan.

Menurutnya, galeri berkenaan menghimpunkan ratusan koleksi berkaitan kepolisan, termasuk kelengkapan, gambar, logistik dan peralatan yang digunakan sepanjang perkembangan pasukan polis dari era penjajahan hingga zaman moden.

“Jumlah bahan ini banyak dan kalau dikira setiap item, ada beratus-ratus. Ia lebih banyak berkaitan kelengkapan kepolisan serta sejarah dan gambar logistik yang digunakan pihak polis dari era penjajahan sehingga era moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pembukaan Lawatan Awam ke Galeri Polis Negeri Sabah, di sini hari ini.

Jauteh berkata, antara koleksi yang dipamerkan termasuk mesin taip, alat perhubungan, senjata serta pelbagai peralatan lain yang mempunyai kaitan dengan sejarah kepolisan Sabah.

Katanya, galeri berkenaan turut mengetengahkan beberapa peristiwa penting yang berlaku di negeri ini, termasuk gambaran mengenai kejadian berkenaan serta penggunaan senjata dalam peristiwa terbabit.

“Antara yang kita pamerkan juga ialah senjata yang digunakan dalam beberapa peristiwa penting di Sabah, termasuk peristiwa berdarah berkaitan insiden Daulat di Lahad Datu pada 2013,” katanya.

Menurutnya, Galeri Polis Sabah dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan boleh dikunjungi secara individu atau berkumpulan.

Bagaimanapun, Jauteh berkata, pengunjung perlu menghubungi pihak galeri terlebih dahulu bagi menetapkan tarikh lawatan kerana galeri berkenaan terletak dalam kawasan larangan.

Katanya, setiap pengunjung juga perlu direkodkan dan didokumentasikan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.

“Kalau datang tanpa pemakluman, agak sukar kerana kita perlu menyediakan maklumat dan setiap yang masuk perlu didokumentasikan mengikut prosedur keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, Jauteh berkata, kadar bayaran masuk ke galeri berkenaan masih belum ditetapkan dan perkara itu akan dinilai kemudian berdasarkan perkembangan serta jumlah kunjungan.

Pembukaan Galeri Polis Sabah itu diharap dapat menjadi wadah kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mengenali sejarah kepolisan negeri serta memahami perkembangan pasukan keselamatan berkenaan dari era terdahulu hingga kini.