TAWAU : Prosiding pertuduhan membunuh seorang wanita di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu selepas tertuduh tiba-tiba menangis dan berdiam diri di kandang tertuduh sebaik pertuduhan selesai dibacakan.
Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 35, tidak memberikan sebarang respons selepas pertuduhan dibacakan, menyebabkan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos mengarahkan prosiding stand down bagi memberi ruang kepada tertuduh menenangkan emosinya.
Prosiding kemudian bersambung semula dengan peguam bela memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes sebelum mahkamah menetapkan 1 Oktober ini bagi sebutan semula.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan difahamkan tertuduh mahu mempertimbangkan semula pengakuannya atas kehendak sendiri, sebelum tertuduh mengesahkan perkara berkenaan.
Pendakwaan kemudian memohon supaya pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan kepada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Sirlin binti Salleh, 36, yang juga di kawasan semak Kampung Pisang, Lahad Datu, antara kira-kira 6 pagi hingga 8 pagi pada 14 November 2023.
Media sebelum ini melaporkan mayat wanita yang bekerja sebagai penebar roti canai bukan sahaja disamun, dirogol malah dibunuh sebelum mayatnya ditemui di dalam semak.
Lebih menyedihkan, wanita berusia 36 tahun itu ditemui dalam keadaan separuh bogel oleh ahli keluarganya, jam 8.15 pagi selepas majikannya mendapati dia tidak datang ke tepat kerja.