LAHAD DATU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari lokan di sungai berhampiran Kampung Tulibas Baru, di sini, pada Rabu ditemukan meninggal dunia, petang tadi.
Mangsa berusia 39 tahun ditemukan dalam keadaan tubuh tidak sempurna kira-kira jam 3.06 petang, dipercayai dibaham buaya, kira-kira tiga kilometer dari lokasi penemuan topinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata mangsa dipercayai keluar dari rumah pada 23 September lalu untuk mencari lokan, namun tidak pulang sehingga hari kejadian.
Beliau berkata, usaha pencarian awal dilakukan ahli keluarga sebelum menemukan topi milik mangsa di kawasan muara sungai berhampiran pantai, manakala peralatan mencari lokan berupa pencakar turut ditemui di dalam sungai.
“BBP Lahad Datu menerima panggilan kecemasan pada jam 10.32 pagi tadi berhubung seorang lelaki dewasa dipercayai hilang di kawasan sungai.
“Pasukan bomba kemudian digerakkan ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sumsoa berkata, operasi SAR turut membabitkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Menurutnya, operasi pencarian dijalankan di sepanjang tebing sungai, selain pencarian permukaan air menggunakan bot persendirian penduduk.
“Pada jam 3.06 petang, mangsa ditemukan penduduk kampung di dalam sungai.
“Pasukan penyelamat kemudian mengeluarkan mangsa dari sungai sebelum diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.