SEMPORNA: Gara-gara memiliki minyak petrol tanpa permit, dua lelaki masing-masing dihukum penjara 10 bulan selepas gagal membayar denda RM20,000 yang dikenakan Mahkamah Sesyen Tawau, dalam dua kes berasingan.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Mohammad Roli Aliman, berkata kedua-dua lelaki terbabit sebelum ini mengaku bersalah atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa permit.
Katanya, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Bagi kes pertama, mahkamah menjatuhkan denda RM20,000 dan jika gagal dibayar, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan.
“Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan barang kawalan yang disita iaitu 750 liter minyak petrol dijadikan hasil kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam kes kedua, seorang lagi lelaki turut dikenakan denda RM20,000 dan diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
“Sebanyak 375 liter minyak petrol yang disita dalam kes kedua turut diperintahkan menjadi hasil kerajaan.
“Kedua-dua individu terbabit gagal menjelaskan denda yang dikenakan dan dihantar ke Penjara Tawau untuk menjalani hukuman penjara selama 10 bulan,” katanya.
Mohammad Roli berkata, barang bukan kawalan yang disita dalam kedua-dua kes pula diserahkan kepada pihak pendakwaan selaras dengan Seksyen 26(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Cawangan Lahad Datu, PPP TK Maslinda Mastan.
Beliau berkata, tindakan pendakwaan itu adalah hasil penguatkuasaan berterusan KPDN bagi membanteras penyelewengan dan penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi.
“KPDN Cawangan Semporna akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang berkaitan kawalan bekalan.
“Langkah ini bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan serta membendung ketirisan demi kepentingan rakyat,” katanya.