KPDN salur RM100,000 naik taraf kemudahan SMK Benoni

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan dan persekitaran pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni, Papar menerusi Program Sekolah Angkat MADANI KPDN Tahun 2026.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SMK Benoni dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI KPDN bagi tahun ini, selepas program sama dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah pada 2025.

Katanya, peruntukan itu antaranya digunakan untuk menaik taraf Bengkel Sains Rumah Tangga dan Bengkel Rekaan Jahitan Pakaian, selain membaiki bumbung tambahan surau serta membeli aset bagi menambah baik persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

“Penambahbaikan kedua-dua bengkel ini mengambil kira SMK Benoni merupakan satu-satunya sekolah yang menawarkan mata pelajaran Rekaan Jahitan Pakaian di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.

Selain peruntukan KPDN, SMK Benoni turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada agensi KPDN dan syarikat swasta termasuk pembinaan Dewan Serbaguna, kelengkapan bilik darjah dan alat bantu mengajar.

Sumbangan turut disalurkan bagi menyokong program kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah serta bantuan kewangan kepada murid asnaf, fakir miskin dan yatim piatu.

Program Sekolah Angkat MADANI diperkenalkan pada 2025 bagi memperkasa pendidikan menerusi kerjasama kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta serta masyarakat, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sosial, komuniti sekolah, sahsiah dan kemahiran murid.

Bagi 2026, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM50 juta untuk pelaksanaan program itu, dengan RM100,000 diperuntukkan kepada setiap kementerian bagi melaksanakan program dan projek di sekolah terpilih.