Kerajaan Negeri sokong pemantapan STEM, TVET

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong usaha memantapkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, objektif jangka panjang Kerajaan Negeri adalah jelas, iaitu membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong aspirasi ekonomi Sabah.

“Melalui pemantapan STEM dan TVET, laluan kerjaya bernilai tinggi akan diwujudkan, sekali gus memastikan generasi muda berpeluang mengambil bahagian, malah berupaya memimpin industri masa hadapan.

“Ketika Sabah giat memburu pertumbuhan merentasi pelbagai sektor merangkumi tenaga, pembuatan, teknologi, logistik, pelancongan hingga ke ekonomi digital, kita menyaksikan peningkatan pelaburan dan peluang baharu yang memerlukan pengetahuan serta kemahiran khusus.

“Infrastruktur boleh dibina, pelaburan boleh ditarik dan industri boleh dibangunkan, tetapi akhirnya bakat tempatan yang berdaya saing adalah pemacu kepada kemajuan berterusan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan ConocoPhillips STEM Forward 2026 di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tanjung Aru, di sini, pada Isnin.

Beliau memuji ConocoPhillips Malaysia atas kejayaan melaksanakan inisiatif yang sudah memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar Sabah menerusi ekosistem STEM, selain mendedahkan mereka kepada pengalaman industri sebenar.

Masidi juga menzahirkan penghargaan kepada ConocoPhillips Malaysia dan rakan strategiknya atas komitmen berterusan memajukan pendidikan STEM di Sabah menerusi penganjuran STEM Forward 2026 yang disifatkan sebagai pelaburan bermakna untuk masa depan negeri.

Dalam majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan Modul Matematik dan Sains STEM Preppers kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sebagai langkah memperkasa pembelajaran STEM.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada warga pendidik yang menjadi tunjang keberkesanan program berkenaan melalui dedikasi membimbing dan menyemai minat pelajar.

Selain itu, Masidi menasihatkan pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang berinteraksi dengan jurutera dan profesional tempatan yang telah berjaya membina kerjaya di peringkat global.

“Mereka pernah berada di tempat anda hari ini, dengan impian dan cita-cita. Menerusi usaha gigih, tekad dan pendidikan, mereka membuktikan bahawa latar belakang tidak menentukan had anda, dan peluang besar sentiasa berada dalam capaian sekiranya anda bersedia untuk belajar dan mencabar diri,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kejayaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya memerlukan kerjasama semua pihak merangkumi kerajaan, sekolah dan pihak industri.

Dalam majlis sama, Masidi menyampaikan hadiah kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac yang dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Robotics Outreach & Advancement Readiness (ROAR), seterusnya akan mewakili Sabah ke FIRST LEGO League di Kuala Lumpur pada Oktober depan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan.