BRAVE Fest platform dekati masyarakat, runtuhkan stigma kesihatan mental

KOTA KINABALU: Program Building Resilience & Awareness Via Engagement (BRAVE Fest) 2026 menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kesihatan mental kepada masyarakat.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. William Gotulis berkata, pendekatan membawa perkhidmatan kesihatan terus kepada komuniti membuktikan komitmen Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam menyantuni masyarakat secara inklusif.

“Langkah strategik ini membuktikan komitmen jitu kita dalam menyantuni komuniti secara inklusif, sekali gus meruntuhkan tembok stigma yang selama ini menjadi penghalang utama kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan kesihatan mental.

“Kesejahteraan mental merupakan teras kelangsungan hidup manusia yang holistik, merangkumi keseimbangan emosi, psikologi dan sosial.

“Namun, tidak dapat dinafikan bahawa isu ini masih sering diselubungi oleh dogma, diskriminasi dan salah faham.

“Stigma masyarakat sering memanifestasikan persepsi negatif, kononnya masalah kesihatan mental adalah kelemahan peribadi atau suatu kondisi yang tidak mampu dirawat.

“Persepsi songsang inilah yang sering merencatkan langkah individu untuk tampil mendapatkan rawatan dan intervensi awal,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam), Dr. Muhammad Jikal dalam Program BRAVE Fest: Break The Stigma Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, kempen bertemakan ‘Hentikan Stigma, Kesihatan Mental Milik Semua’ itu bertujuan memperkasa literasi kesihatan mental, memupuk empati serta membina jaringan sokongan komuniti yang lebih terbuka.

“Perjuangan mendepani cabaran kesihatan mental ini tidak wajar digalas secara bersendirian, ia menuntut sinergi dan penggemblengan tenaga yang bersepadu antara agensi kesihatan, komuniti setempat dan semua pemegang taruh.

“Saya juga dimaklumkan bahawa festival pada hari ini padat dengan pengisian interaktif yang membawa mesej saintifik yang amat bermakna.

“Sebagai contoh Galeri “Neuroscience of Emotions” amat bertepatan bagi mendidik masyarakat bahawa kondisi seperti kemurungan atau kecemasan sering kali berpunca daripada ketidakseimbangan neurokimia di dalam otak seperti tahap pengeluaran serotonin dan dopamin.

“Selain itu, penyediaan platform seperti Warkah Buat Awan dan Safe Space Corner juga merupakan inisiatif yang sangat prihatin bagi memberi ruang kepada pengunjung meluahkan bebanan emosi secara awanama dalam yang selamat dan menenangkan,” jelasnya.

Beliau turut menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat agar terus membudayakan sikap keterbukaan, empati, dan sokongan sosial yang padu terhadap rakan-rakan serta ahli keluarga yang sedang berhadapan dengan cabaran kesihatan mental.

Hadir sama, Ketua Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit JKNS, Dr. Tee Wen Li dan Ketua Perkhidmatan Psikiatri Negeri, Dr. Chua Tze Hung.