Wanita 38 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima

PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 38 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Donggongon, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas jalan di bahagian belakang bangunan berkenaan pada jam 12.36 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan tersebut.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu pada jam 1.05 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sammy berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes merangkap Ketua Polis Balai Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-449 2215,” katanya.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

“Polis turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau video berkaitan kejadian bagi menjaga sensitiviti serta privasi keluarga mangsa,” katanya.