KOTA MARUDU: Seorang suami dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Marudu selepas didapati bersalah mendatangkan kecederaan parah terhadap isterinya pada Jun lalu.
Tertuduh, Kanasius Natun, 50, didapati bersalah atas kesalahan menetak isterinya, Jorurus Masanting, pada pagi 25 Jun 2026 di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mangkupa, Jalan Popok, Kota Marudu.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadzri Azham Zainudin, manakala hukuman dijatuhkan Hakim Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun bermula dari tarikh sabitan pada 5 Oktober 2026.
Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, berkata tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kesalahan jenayah dapat dibendung serta keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah di daerah berkenaan.