BICBEEM 2026 relevan dalam konteks pembangunan negeri Sabah

KOTA KINABALU: Penganjuran Persidangan Antarabangsa Borneo untuk perniagaan, pendidikan, ekonomi dan pengurusan (BICBEEM) yang julung kali diadakan amat relevan dalam konteks pembangunan negeri Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Saya melihat penganjuran BICBEEM 2026 sebagai satu langkah yang amat bermakna dalam memperkukuh ekosistem ilmu dan jaringan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat.

“Saya berharap persidangan ini dapat membuka ruang kepada pertukaran idea dan pandangan, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara para peserta, penyelidik, pengamal industri dan institusi yang terlibat,” katanya pada majlis perasmian BICBEEM 2026 di Hotel Raia dekat sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Menurut Ketua Menteri, bahawa penyelidikan perlu mempunyai hubungan yang lebih dekat dengan keperluan sebenar masyarakat, industri dan pembangunan negeri.

“Dalam konteks Sabah, terdapat banyak isu dan peluang yang boleh dijadikan bidang penyelidikan bersama. Antaranya termasuk pembangunan ekonomi luar bandar, transformasi digital, keusahawanan belia, pertanian pintar, pelancongan komuniti, kelestarian alam sekitar, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta peningkatan daya saing ekonomi tempatan.

“Saya berharap para penyelidik yang hadir pada hari ini dapat melihat Sabah dan Borneo sebagai makmal hidup (living laboratory) untuk menghasilkan penyelidikan yang mempunyai nilai akademik dan impak praktikal.

“Kita mahu melihat lebih banyak penyelidikan bersama, pertukaran ilmu dan kepakaran, penglibatan industri, pembangunan inovasi, program keusahawanan serta inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.

Beliau mengalu-alukan kerjasama strategik seperti antara Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), North Borneo University College (NBUC), Universiti Malaysia

Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) dalam penganjuran BICBEEM 2026.

“Ini merupakan satu contoh bagaimana jaringan antara kerajaan dan institusi dapat diperkukuh bagi memperluas perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman.

“Lebih penting, jaringan yang terbentuk melalui BICBEEM perlu dimanfaatkan untuk menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan kerajaan, industri dan komuniti,” katanya.

Hajiji berkata Sabah mempunyai potensi yang sangat besar melalui kekayaan sumber semula jadi, kedudukan strategik, kepelbagaian masyarakat serta bakat generasi muda merupakan yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Namun, potensi sahaja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan segala kekuatan yang ada dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi, peningkatan kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang mampan,” katanya.