Bekas polis sedia bantu PDRM bendung jenayah di Keningau

KENINGAU: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Keningau bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan, pencegahan dan pembanterasan jenayah di daerah ini.

Pengerusinya, Sub Inspektor (B) Francis Anggi Kathil, berkata kesediaan itu berikutan pengalaman dan pengetahuan luas bekas anggota polis dalam aspek keselamatan serta pencegahan jenayah.

“Kami bersedia membantu PDRM sebagai mata dan telinga masyarakat, khususnya dengan menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan, pencegahan dan pembanterasan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa PBPM Cawangan Keningau kepada Ketua Polis Daerah Keningau yang baharu, Superintenden Erwansyah Abdul Basir, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Menurut Anggi, kunjungan itu bertujuan sebagai sesi suai kenal selain memberi taklimat ringkas mengenai peranan dan fungsi PBPM Cawangan Keningau kepada Erwansyah.

Katanya, antara peranan utama persatuan adalah menjaga dan memperjuangkan hak serta kebajikan pesara dan bekas anggota polis, termasuk ahli keluarga mereka.

“PBPM juga sentiasa menyokong dasar kerajaan serta berusaha mengekalkan hubungan baik dan kerjasama erat dengan warga PDRM yang masih berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, Erwansyah yang juga Penasihat PBPM Cawangan Keningau mengucapkan terima kasih atas kunjungan berkenaan serta menyatakan komitmen untuk terus memberikan sokongan dan bantuan kepada PBPM dalam melaksanakan peranan, termasuk memperjuangkan kebajikan pesara dan bekas anggota polis.