Dua remaja ditahan, disyaki terlibat kegiatan menagih dadah

TAWAU: Dua remaja lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam operasi di kawasan Pondok Polis Brumpada, di sini, malam tadi.

Kedua-dua suspek berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan anggota Balai Polis Bombalai kira-kira jam 9 malam selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek tidak menemukan sebarang barang salah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Rosdi berkata, tiada sebarang rampasan direkodkan dalam tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, polis akan meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah selain menggalakkan masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti berkaitan dadah di kawasan masing-masing.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya.