Kanak-kanak 11 tahun maut akibat tembakan ‘Ginsok’

KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat tembakan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, pada 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.35 petang ketika mangsa berada di pondok berkenaan bersama seorang lagi kanak-kanak sebelum satu das tembakan dilepaskan.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan pada 11 Oktober di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tembakan pada bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan, serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 berhubung pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana senjata api berkenaan diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga kejadian itu berlaku.

“Pemeriksaan forensik dan balistik turut diberi perhatian bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki digunakan dengan kecederaan mangsa,” katanya.

Erwansyah berkata, pihak polis turut meneliti aspek pemilikan senjata api tanpa lesen serta kemungkinan wujud unsur pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memiliki senjata api tanpa kebenaran yang sah, manakala pemilik senjata api berlesen diingatkan agar menyimpannya di tempat yang selamat dan berkunci bagi mengelakkan akses oleh kanak-kanak.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Katanya, tindakan undang-undang akan ditentukan berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang berkaitan, sementara siasatan lanjut masih diteruskan.