KUDAT: Sebanyak lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah melibatkan jajaran sepanjang 179 kilometer dicadangkan untuk dibuka secara berperingkat sebelum penghujung tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Joachim Gunsalam berkata, perkembangan itu merupakan satu perkembangan positif, meskipun projek berkenaan berdepan beberapa cabaran pelaksanaan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
“Walaupun begitu, kami percaya bahawa tidak lama lagi, sebanyak lapan pakej sepanjang 179 kilometer dicadangkan untuk dibuka secara berperingkat sebelum penghujung tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi sidang media pada Konvensyen GRS, di sini, pada Ahad.
Mengulas laporan audit yang menyatakan kemajuan projek hanya mencapai 11.4 peratus selepas 10 tahun, beliau menjelaskan angka itu berdasarkan empat daripada 35 pakej yang telah siap sepenuhnya dan diserahkan.
“Angka 11.4 peratus ini tidak menggambarkan keseluruhan tahap pembinaan secara menyeluruh. Jika dilihat secara keseluruhan, ada pakej yang belum diserahkan tetapi kemajuannya sudah mencapai antara 23 peratus hingga 90 peratus,” ujar beliau.
Beliau yang juga merupakan Presiden Parti Berdatu Sabah (PBS) berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan dengan lebih baik.
Beliau berkata, antara faktor yang mempengaruhi pelaksanaan projek ialah peralihan daripada model Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada kaedah konvensional, pelantikan kontraktor secara berperingkat, gangguan pandemik COVID-19 serta urusan pengambilan tanah.
“Cabaran bentuk muka bumi Sabah termasuk kawasan paya, tanah gambut dan pergunungan serta kelemahan dalam pengurusan kontraktor turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi pelaksanaan projek ini, dan perkara itu kita akui serta sedang diperbaiki,” jelasnya.