KPDN cadang subsidi diesel untuk feri Kudat-Pulau Banggi

KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya subsidi diesel diperluaskan kepada pengusaha feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan itu dikemukakan susulan pengurangan kekerapan perjalanan feri oleh dua syarikat pengendali sedia ada yang dikaitkan dengan peningkatan kos operasi dan bahan api diesel.

Beliau berkata, KPDN bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi serta agensi kerajaan berkaitan sudah mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua pengusaha feri bagi membincangkan isu berkenaan.

Menurutnya, perkhidmatan feri itu penting kerana menjadi pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk Pulau Banggi dengan bandar Kudat untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial.

“Perkhidmatan feri laluan Kudat-Pulau Banggi merupakan pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk Pulau Banggi dengan bandar Kudat bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas serta bekalan keperluan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, cadangan pemberian subsidi diesel itu mengambil kira keperluan sebenar penduduk setempat, bukannya bagi menyokong aktiviti pelancongan.

Beliau berharap pertimbangan terhadap cadangan berkenaan membolehkan kedua-dua syarikat pengendali feri meningkatkan semula kekerapan perjalanan, sekali gus memastikan kelangsungan perhubungan penduduk di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, perincian mekanisme pelaksanaan subsidi itu akan diumumkan tertakluk kepada persetujuan dan keputusan MOF.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDN turut memperkukuh usaha membantu penduduk Pulau Banggi menerusi Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Pengedaran Barang Perlu.

Armizan berkata, sebanyak 35 siri PJRM dilaksanakan di Pulau Banggi dari 1 Januari hingga 18 Oktober tahun ini, berbanding 31 siri sepanjang 2025.

Sementara itu, Program Pengedaran Barang Perlu di kawasan berkenaan melibatkan 77 pusat jualan yang merangkumi tiga zon iaitu Karakit, Damaran dan pulau-pulau sekitar Pulau Banggi.