Ahmad Shafirudin dilantik Panglima Armada Timur ke-7

KOTA KINABALU: Laksamana Madya Dato’ Ahmad Shafirudin Abu Bakar secara rasmi mengambil alih jawatan Panglima Armada Timur ke-7 daripada Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris dalam Majlis Serah Terima Tugas di Dewan Sepanggar, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, hari ini.

Pelantikan Ahmad Shafirudin menjadikannya Panglima Armada Timur ke-7 sejak penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur pada April 2017.

Upacara serah terima tugas dimulakan dengan menandatangani sijil serah terima tugas, diikuti penyerahan nota serah tugas daripada Khir Junaidi kepada penggantinya.

Majlis berkenaan turut disempurnakan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts. Badarudin Taha.

Upacara diteruskan dengan penurunan insignia pemerintah sebelum disematkan kepada panglima baharu, selain penyerahan teropong sebagai simbolik peralihan amanah kepimpinan.

Ahmad Shafirudin, yang berasal dari Kuala Kedah, telah berkhidmat dalam TLDM sejak 1989.

Sebelum pelantikan itu, beliau menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan dan Strategi di Markas Tentera Laut.

Sementara itu, Khir Junaidi bakal menamatkan perkhidmatan selepas hampir 42 tahun berbakti kepada TLDM.

Sepanjang menerajui Armada Timur sebagai panglima ke-6, beliau menyumbang kepada usaha memperkukuh kesiagaan operasi, profesionalisme warga serta keupayaan armada dalam mempertahankan keselamatan maritim negara.

Timbalan Panglima Tentera Laut turut merakamkan penghargaan kepada Khir Junaidi atas jasa dan kepimpinannya, selain menekankan kepentingan kesinambungan legasi kecemerlangan Armada Timur.

Majlis berkenaan turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut Armada Timur antara Datin Norhaliza Shaari dan Datin Hayati Osman.

Acara Street Lining serta Kawalan Kuarter turut diadakan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu kepada Khir Junaidi atas jasa serta khidmat baktinya sepanjang berkhidmat dalam TLDM.

Peralihan kepimpinan itu mencerminkan kesinambungan amanah dan komitmen warga TLDM dalam memastikan kesiagaan operasi serta mempertahankan kedaulatan dan kepentingan maritim negara terus terpelihara.