TAWAU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 565.73 gram, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Lim Kian Jet, 36, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki warga tempatan itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA dengan berat kasar 565.73 gram di kawasan parkir Pusat Komersil Taipan, Jalan Taipan, kira-kira 4.40 petang pada 8 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika hukuman mati tidak dijatuhkan, sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memohon satu tarikh baharu bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus ditahan di penjara sehingga tarikh berkenaan.