KPSTI, SCENIC promosi kepakaran tempatan menerusi simposium perubatan sukan

KOTA KINABALU: Simposium Perubatan Sukan Kinetic Next 2026 menjadi platform mengetengahkan kepakaran tempatan serta inovasi dalam bidang sukan dan penjagaan kesihatan menerusi perkongsian ilmu dan kerjasama rentas sektor.

Simposium yang berlangsung di Hotel 7, Suria Mall itu melibatkan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC), Persatuan Inovasi Kota Kinabalu Sabah (PIKKSA), Unit Perubatan Sukan Hospital Queen Elizabeth serta Kinabalu Association of Sports Medicine (KIASM).

Program berkenaan menghimpunkan golongan profesional, penyelidik, pengamal penjagaan kesihatan dan komuniti sukan untuk bertukar-tukar pengetahuan serta meneroka pendekatan dalam rehabilitasi sukan, pencegahan kecederaan dan peningkatan prestasi atlet.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, dalam ucapan yang disampaikan Timbalan Setiausaha Tetap I KPSTI, Doria Tai Yun Tyng, berkata inovasi bukan hanya melibatkan pembangunan teknologi dan produk komersial, malah merangkumi pengetahuan profesional serta penambahbaikan amalan.

“Penekanan terhadap perubatan sukan menunjukkan bagaimana inovasi melangkaui teknologi dan produk komersial.

“Ia turut merangkumi pengetahuan profesional, amalan yang ditambah baik serta pendekatan kolaboratif yang berpotensi memberikan manfaat bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Usaha itu turut mencerminkan komitmen KPSTI dan SCENIC untuk mengiktiraf bakat tempatan, memperkukuh kerjasama serta menggalakkan penerapan kepakaran profesional dalam menangani cabaran sebenar masyarakat.

Antara inovasi tempatan yang diketengahkan ialah PaduBall, sukan berasaskan raket yang dibangunkan inovator tempatan, AG Ahmad bin Mohd Yunus, dengan menawarkan pengalaman permainan berbeza kepada peminat sukan raket. Inovasi itu masih berada di bawah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain itu, Sistem Penyelidikan dan Amaran Autisme AI (AI Autism Research & Warning System atau ARAWS) turut menunjukkan penerapan teknologi dalam bidang penjagaan kesihatan dan sokongan komuniti.

Sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu dibangunkan Mohd Sukri bin Umar, Mathiew Sungkit, Jamlee Yanggitom dan Hasfaizah Zaini di bawah PIKKSA untuk menyokong keselamatan serta analisis tingkah laku individu autisme.

Kedua-dua inovasi itu memperlihatkan kepelbagaian bidang yang boleh diterokai menerusi kepakaran tempatan, termasuk pembangunan sukan baharu dan penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan.

Melalui kerjasama berterusan dengan inovator tempatan, institusi dan organisasi profesional, KPSTI dan SCENIC berhasrat memperkukuh ekosistem inovasi Sabah serta membantu menterjemahkan idea dan kepakaran kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat.