PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan diminta memberikan penjelasan terperinci berhubung status 13 projek jalan luar bandar yang Surat Setuju Terima (SST) pelaksanaannya ditangguhkan, termasuk sama ada projek berkenaan dibatalkan atau dibawa ke tahun hadapan.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, penjelasan itu penting bagi memberikan kepastian kepada wakil rakyat dan penduduk yang sekian lama menantikan pelaksanaan projek kemudahan jalan luar bandar berkenaan.
Katanya, meskipun penjelasan sudah diberikan Menteri Kewangan II dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika penggulungan Belanjawan 2027, maklumat lanjut mengenai status projek berkenaan masih diperlukan.
“Apa yang kita mahu adalah penjelasan tentang status 13 projek yang surat setuju terimanya itu ditangguhkan.
“Saya telah bertanya sama ada ia dibatalkan atau dibawa ke tahun berikutnya untuk pelaksanaan, tetapi belum ada penjelasan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke projek jalan luar bandar Jalan Terian dan Jalan Buayan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin, di sini.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III berkata, projek yang sudah dipersetujui dan diluluskan itu perlu diteruskan bagi memastikan rakyat luar bandar tidak terus menunggu kemudahan infrastruktur berkenaan.
Katanya, sekiranya kekangan peruntukan menyebabkan projek tidak dapat dilaksanakan tahun ini, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberikan keutamaan kepada pelaksanaannya pada tahun hadapan.
“Saya mengharapkan sekiranya Ahli Parlimen diberikan taklimat oleh kedua-dua Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kewangan supaya status 13 projek itu dapat diperjelaskan.
“Apa yang kita mahu sebagai Ahli Parlimen ialah projek yang sudah dipersetujui dan diluluskan dapat diteruskan, kalau tidak pada tahun ini kerana faktor peruntukan, sepatutnya ada ruang untuk diberi keutamaan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan dahulu,” ujar beliau.
Menurut beliau, isu penangguhan SST berkenaan bukan hanya melibatkan Sabah, malah turut membabitkan Sarawak dan Semenanjung, justeru penjelasan menyeluruh diperlukan bagi memastikan status projek pembangunan jalan luar bandar di seluruh negara dapat diketahui.
Katanya, kemudahan jalan luar bandar amat penting kepada masyarakat setempat dan tidak seharusnya diketepikan selepas melalui proses perancangan serta kelulusan.