LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas dua bot pam tanpa nombor pendaftaran yang membawa 1,750 liter petrol bernilai kira-kira RM18,000 di perairan berhampiran Kampung Sinakut Tengah, di sini, awal pagi semalam.
Rampasan dilakukan menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris 4.0 hasil maklumat risikan selepas kedua-dua bot dikesan pada jam 6 pagi dan 6.20 pagi.
Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata pemeriksaan mendapati bot berwarna biru dan hijau itu membawa keseluruhan 70 gelen petrol berkapasiti 25 liter setiap satu.
Menurutnya, bot pertama membawa 38 gelen manakala bot kedua membawa 32 gelen petrol, menjadikan jumlah keseluruhan 1,750 liter dengan nilai rampasan dianggarkan RM18,000.
Bagaimanapun, katanya, sekumpulan individu yang dipercayai mengendalikan kedua-dua bot itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, sebelum meninggalkan bot bersama muatan masing-masing.
“Selain minyak petrol, pihak Maritim Malaysia turut menemukan empat unit enjin pam bot yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua bot bersama muatan dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup petrol ke negara jiran,” katanya
Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya