Syabu bernilai RM5,000 dirampas, dua suspek ditahan di Kudat

KUDAT: Polis menahan dua individu, masing-masing seorang lelaki dan wanita, serta merampas dadah disyaki syabu seberat 50.62 gram dalam satu operasi di daerah ini kira-kira jam 12.30 tengah malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat menerusi operasi berdasarkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek wanita menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 50.62 gram.

“Nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek wanita positif amphetamine/methamphetamine, manakala suspek lelaki negatif.

“Semakan rekod jenayah lampau turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Mohd Haris, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala permohonan reman selama tujuh hari telah dibuat terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, IPD Kudat akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di daerah berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dadah bagi membantu memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.