KOTA KINABALU: Penilaian prestasi keseluruhan 35 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah secara serentak disifatkan tidak wajar kerana setiap pakej membabitkan tempoh pelaksanaan dan tahap kemajuan berbeza.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penilaian perlu membezakan pencapaian Fasa 1A dan Fasa 1B bagi memberikan gambaran lebih tepat mengenai kemajuan sebenar projek berkenaan.
Beliau berkata, Fasa 1B yang hanya bermula pada penghujung September 2024 masih berada pada peringkat awal pelaksanaan, justeru peratusan kemajuannya tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan Fasa 1A.
Katanya, kemajuan fizikal Fasa 1A kini mencapai kira-kira 90 peratus, meskipun terdapat beberapa pakej yang masih berdepan masalah serius dan kelewatan.
“Ada yang sudah siap 100 peratus, ada beberapa lagi dijangka siap dalam tempoh sebulan dua ini, tetapi ada juga yang jauh ketinggalan. Kita akui perkara itu.
“Fasa 1B pula baru bermula dan prestasinya boleh dikatakan baik. Pencapaian fizikalnya sudah mencapai 26 peratus, manakala kewangan 23 peratus. Bagi kita, itu sudah memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi temu bual Bernama TV, semalam.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, penggabungan pencapaian semua 35 pakej dalam satu penilaian menyebabkan kelewatan pakej bermasalah dalam Fasa 1A turut mempengaruhi gambaran prestasi Fasa 1B.
Katanya, keadaan itu boleh menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat seolah-olah keseluruhan projek masih gagal menunjukkan kemajuan atau belum disiapkan.
“Kalau kita longgokkan semua 35 pakej sekali, memang pencapaian akan terjejas disebabkan pakej bermasalah dalam Fasa 1A.
“Saya tidak kata laporan itu salah kerana mungkin mereka melihat daripada satu sudut, tetapi kita tidak boleh melihatnya daripada satu dimensi sahaja.
“Kita perlu melihat keadaan sebenar kerana Fasa 1B ini baru bermula. Perkara itu perlu dijelaskan supaya maklumat yang disampaikan lebih bermakna,” katanya.
Beliau berkata, penilaian berdasarkan fasa pelaksanaan penting bagi memastikan perkembangan projek dapat difahami dengan lebih tepat.
Selain itu, katanya, ia bagi mengelakkan orang ramai membuat kesimpulan berdasarkan angka keseluruhan tanpa mengambil kira perbezaan tempoh permulaan setiap pakej.