TAWAU: Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM7,330 berkaitan pembekalan bahan mentah dan kering untuk prasekolah di sekolah yang diterajuinya.
Tertuduh, Mohd Hussin Mosten, 58, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A. Dadi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai badan awam, iaitu Guru Besar Gred DG10, untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dengan meluluskan Pesanan Kerajaan bernombor CKK B 305541 berjumlah RM3,826 kepada Syarikat Syami Enterprise.
Pesanan berkenaan adalah bagi perkhidmatan membekalkan bahan mentah dan kering untuk prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kabogan, Semporna, pada 8 Mac 2024, sedangkan kerja pembekalan berkenaan didakwa dilaksanakan sendiri oleh tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan meluluskan Pesanan Kerajaan bernombor CKK B 305546 berjumlah RM3,504 kepada syarikat sama bagi perkhidmatan pembekalan bahan mentah dan kering untuk prasekolah sekolah berkenaan pada 18 April 2024.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di SK Kabogan, Semporna.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Wardah Ishhar mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 Januari 2027 untuk sebutan pengurusan kes (PTCM), manakala perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Februari 2027.