KOTA MARUDU: Seorang lelaki berusia 36 tahun dijatuhi hukuman penjara 22 bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan mencuri tembaga dan memiliki senjata tanpa lesen dalam kejadian di Kampung Kuyuh, Pitas.
Tertuduh, Ahmad Azdi Halim, ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, kira-kira jam 2 pagi pada 4 November lalu, susulan maklumat berhubung kegiatan mencuri tembaga di sebuah tapak kolam udang di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan sebuah beg sandang mengandungi plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 40.44 gram.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan selaras senapang angin bersama enam kotak peluru timah yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda, selain sisa tembaga di bahagian belakang kenderaan itu.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum arahan diterima untuk mendakwa suspek mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Bagaimanapun, pertuduhan berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 masih menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia.
Katanya, pada 10 November lalu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Marudu dan mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bagi kesalahan mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 12 bulan bagi kesalahan memiliki senjata tanpa lesen mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Simiun berkata, pihak polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi membantu membendung kegiatan yang menyalahi undang-undang.