SANDAKAN: Tiga individu dijatuhi hukuman penjara selama sebulan setiap seorang, manakala enam lagi didenda dengan jumlah keseluruhan RM20,600 atas kesalahan berkaitan bekalan elektrik di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua sembilan kes diputuskan di Mahkamah Sesyen Sandakan pada 18 November lalu di hadapan Hakim Mohd Khushairy Ibrahim.
Tiga individu yang dikenakan hukuman penjara ialah Bilma binti Kasim, Norsan Dekeh dan Emeng Lajim atas kesalahan membuat sambungan elektrik secara haram di penempatan setinggan Kampung Kagayan, Sandakan, mengikut subseksyen 61(3)(a) enakmen berkenaan.
Sementara itu, empat individu lain turut didenda di bawah peruntukan sama atas kesalahan berkaitan sambungan elektrik haram di kawasan berkenaan.
Nurita Anggongan dan Jeselna Jani masing-masing didenda RM2,500, manakala Amil Maulana dan Alradzmil Jalseddik masing-masing dikenakan denda RM2,800.
Nurita dan Alradzmil yang merupakan pemegang dokumen IMM13 turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia di Sandakan untuk tindakan lanjut.
Dalam dua kes berasingan, Chau Tsun Lun dan Chong Pui Yii masing-masing didenda RM5,000 kerana menggunakan elektrik secara curang di kediaman mereka di Taman Astana Height, Sandakan, mengikut subseksyen 61(3)(c) enakmen sama.
Kesemua denda yang dikenakan telah dijelaskan.
Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Energy Commission of Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie.
Menurut ECoS, kesalahan berkaitan bekalan elektrik dipandang serius kerana perbuatan itu boleh membahayakan keselamatan orang awam serta menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna lain.
ECoS turut menegaskan akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan dan mengambil tindakan pendakwaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan bekalan elektrik di Sabah.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan sambungan elektrik secara haram, mengusik meter atau pepasangan elektrik serta menggunakan bekalan elektrik tanpa kebenaran.