KUALA LUMPUR: MARC Ratings mengiktiraf kekuatan kedudukan kewangan Sabah dengan mengekalkan penarafan kredit subnasional tertinggi AAA serta unjuran stabil, disokong kekayaan sumber asli, rizab kewangan yang besar dan kepentingan strategik negeri dalam politik negara.
Agensi penarafan itu berkata, asas hasil negeri yang teguh, khususnya daripada sektor komoditi, selain kedudukan kewangan yang sihat menjadi faktor utama menyokong keupayaan kredit Sabah.
Katanya, dana disatukan kerajaan negeri juga mempunyai kedudukan mencukupi untuk menampung keseluruhan hutang tertunggak, sekali gus memperlihatkan daya tahan kewangan negeri berkenaan.
Penarafan berdasarkan maklumat yang tersedia kepada umum itu turut mengambil kira jangkaan Sabah mampu mengekalkan kedudukan fiskal yang sihat dalam tempoh sederhana.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi agensi penarafan berkenaan pada 20 November 2026, semalam.
“Sabah merekodkan hasil RM6.8 bilion pada 2024, bersamaan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus muncul negeri kedua tertinggi menjana hasil selepas Sarawak.
“Lebih dua pertiga daripada keseluruhan hasil negeri disumbangkan sektor berkaitan komoditi, termasuk cukai jualan minyak dan gas, royalti serta cukai jualan minyak sawit mentah.
“Asas hasil yang kukuh membolehkan Sabah mencatat lebihan fiskal setiap tahun sepanjang tempoh sedekad lalu, kecuali pada 2020, dengan lebihan sebanyak 0.4 peratus daripada KDNK direkodkan pada 2024,” katanya.
Menurutnya, kedudukan kewangan itu turut diperkukuh peningkatan dana disatukan kerajaan negeri kepada RM7.6 bilion pada 2024, iaitu kedua terbesar dalam kalangan negeri di Malaysia.
“Jumlah berkenaan mampu menampung hutang kasar negeri sebanyak 2.4 kali ganda berbanding 1.1 kali ganda pada 2020,” katanya.
MARC Ratings menjangkakan kedudukan fiskal Sabah terus mendapat manfaat daripada hasil komoditi, dengan harga minyak mentah Brent diunjurkan purata antara AS$90 hingga AS$95 setong pada 2026 berbanding AS$68 setong pada 2025.
Dalam pada itu, katanya, sektor pertanian dan perlombongan menyumbang 35.9 peratus kepada KDNK Sabah pada 2025, iaitu kadar tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia.
“Sabah juga menghasilkan hampir 40 peratus daripada keseluruhan pengeluaran minyak mentah negara selain menjadi pengeluar minyak sawit mentah kedua terbesar dengan sumbangan 4.4 juta tan atau 22 peratus daripada pengeluaran nasional pada 2025,” katanya.
Bagaimanapun, agensi itu berpandangan sektor pembuatan Sabah masih kecil apabila hanya menyumbang 7.2 peratus kepada KDNK negeri.
“Usaha membangunkan aktiviti hiliran minyak dan gas serta pelaksanaan Pelan Hala Tuju Koridor Pembangunan Sabah 2.0 dijangka mampu memperkukuh kepelbagaian ekonomi dan menyokong pertumbuhan jangka panjang, meskipun produktiviti rendah masih menjadi kekangan,” katanya.
MARC Ratings turut menyorot kepentingan strategik Sabah dalam politik negara sebagai blok ketiga terbesar di Parlimen dengan memiliki 25 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Pada masa sama, menurutnya, autonomi kewangan dan pentadbiran negeri dilihat semakin diperkukuh menerusi aturan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Geran khas sementara Kerajaan Persekutuan kepada Sabah meningkat kepada RM1.5 bilion pada 2026 berbanding RM600 juta pada 2025, sementara rundingan berhubung hak 40 peratus hasil bersih negeri masih diteruskan.
“Peningkatan peruntukan itu dijangka memperluas fleksibiliti fiskal kerajaan negeri untuk membiayai keutamaan pembangunan,” katanya.
Mengulas prospek, MARC Ratings menjangkakan Sabah mampu mengekalkan rizab kewangan dan prestasi fiskal yang sihat, disokong usaha memperluas sumber hasil serta mempelbagaikan aktiviti ekonomi.
Bagaimanapun, agensi itu mengingatkan kebergantungan tinggi terhadap hasil minyak, gas dan kelapa sawit menyebabkan Sabah masih terdedah kepada turun naik harga komoditi global.
“Kemerosotan berpanjangan pasaran komoditi atau kelemahan hubungan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri berpotensi memberi risiko negatif kepada profil kredit Sabah,” katanya.