Sabah kekal had umur belia 40 tahun, usaha tambang khas penerbangan diteruskan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal menetapkan had umur belia sehingga 40 tahun bagi memastikan golongan muda, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, terus mendapat akses kepada peluang pembangunan, latihan kemahiran serta pekerjaan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keputusan Kabinet Negeri itu mengambil kira realiti geografi dan sosioekonomi Sabah yang memerlukan pendekatan pembangunan belia bersesuaian dengan keperluan negeri.

Menurutnya, golongan berusia antara 31 hingga 40 tahun masih memerlukan sokongan pembangunan selain mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk menyumbang kepada komuniti.

Katanya, pendirian itu turut mendapat penghargaan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

“Pendirian berkenaan akan diperkukuh menerusi cadangan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang IV, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 di Putrajaya, semalam, yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Nizam berkata, enakmen itu bertujuan memperkukuh pengurusan pertubuhan belia serta menyediakan asas perundangan lebih tersusun bagi pembangunan golongan muda di Sabah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata isu tambang penerbangan tinggi antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia turut dibangkitkan menerusi cadangan kadar tambang khas untuk golongan belia.

Menurutnya, cadangan itu merupakan antara lima usul yang dikemukakan pada persidangan MPBN peringkat Sabah bagi mengurangkan beban anak muda yang perlu melakukan perjalanan untuk pengajian, latihan dan program pembangunan.

“Kementerian saya akan membuat susulan dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan bagi meneliti langkah praktikal mengurangkan beban tambang, termasuk cadangan kadar khas untuk belia,” jeaslnya.

Selain itu, persidangan berkenaan turut membincangkan isu keselamatan digital, kemudahan penjagaan anak untuk keluarga muda serta pembangunan hab belia di setiap daerah.

Mengulas cadangan hab berkenaan, Nizam berkata pelaksanaannya di Sabah perlu mengambil kira keluasan negeri dan keperluan belia di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman bagi memastikan kemudahan itu dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.