TENOM: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai digilis kereta api ketika menggunakan troli kayu buatan sendiri di landasan dari Kampung Pangi menghala ke Pekan Tenom, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 63 tahun dipercayai menggunakan troli berkenaan untuk bergerak pulang selepas selesai menjalankan aktiviti berkebun sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran, berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 1.20 petang memaklumkan seorang lelaki dipercayai digilis kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 1.32 petang dan mendapati mangsa berada di bawah gerabak kereta api.
“Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat sebelum berjaya mengeluarkan mangsa dan memindahkannya ke tempat selamat menggunakan pengusung.
“Pemeriksaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang kaki, kecederaan pada badan serta bahagian kepala sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi menyelamat berdepan kesukaran berikutan lokasi kejadian mempunyai akses terhad dan tidak boleh dimasuki menggunakan jentera bomba.
“Pasukan bomba terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung yang menggunakan troli bermotor buatan sendiri untuk membawa anggota ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat,” katanya.
Mudi berkata, maklumat awal mendapati mangsa turut mempunyai masalah pendengaran.
“Operasi dapat dikawal pada jam 1.53 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.04 petang,” katanya