TAWAU: Seorang promoter sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga pemuda dari daerah ini ke Kemboja bagi tujuan eksploitasi kerja paksa, kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, Lim Thong Sheng, 24, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih belum dituduh didakwa memperdagangkan Mohammad Azlan Lario dari Tawau ke Kemboja dengan memperdaya mangsa bagi tujuan eksploitasi kerja paksa.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap dua lelaki lain, masing-masing Sharizal dan Muhammad Zulhakiemi Sabri.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 21 Ogos hingga 15 September 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Haikal Hazwan Md Yatim, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.
Dalam prosiding sama, pihak pembelaan memohon jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan termasuk diabetes yang menjejaskan penglihatannya dan memerlukan rawatan serta pengawasan berterusan.
Peguam turut memaklumkan tertuduh menetap bersama ibu bapanya di Kuantan, Pahang dan bekerja sebagai promoter sambilan tanpa pendapatan tetap.
Pihak pembelaan juga memaklumkan tertuduh mendakwa dirinya turut menjadi mangsa pemerdagangan orang ketika berada di Kemboja, selain mendakwa dua daripada tiga individu terbabit bersetuju menarik balik laporan polis terhadapnya.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan bagi setiap kes serta beberapa syarat tambahan.
Antara syarat ditetapkan ialah tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport Malaysia kepada mahkamah jika ada serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Tertuduh juga diwajibkan hadir pada setiap tarikh sebutan dan perbicaraan atau apabila diarahkan mahkamah, dengan kegagalan mematuhi syarat berkenaan boleh menyebabkan jaminan dibatalkan.
Mahkamah menetapkan 21 Januari 2027 untuk sebutan semula kes bagi pengurusan kes dan pra-perbicaraan (PTCM).