KOTA KINABALU: Taktik sindiket menyembunyikan 159.8 kilogram dadah dalam sebuah kenderaan yang dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia berjaya dibongkar selepas tiga individu ditahan dalam Op Bayu 9 yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah pada 22 dan 23 Mei lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi itu bermula dengan penahanan seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu yang membawa kepada penemuan 9.1 kilogram dadah.
“Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek, dia telah membawa pihak polis ke sebuah hotel dan di lokasi itu kita menahan dua lagi individu iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa pasukan polis ke sebuah premis di Inanam sebelum menemui 69.8 kilogram dadah yang disembunyikan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, suspek kemudian membawa polis ke kawasan parkir di premis yang sama sebelum pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Alza menemukan tambahan 80.9 kilogram dadah.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 159.8 kilogram dadah.
“Kita percaya dadah ini masuk melalui pelabuhan menggunakan modus operandi menyimpan dadah di dalam kenderaan yang dibawa dari Semenanjung ke Sabah,” jelasnya.
Jauteh berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan ruang tersembunyi pada kenderaan bagi menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran.
“Kalau kenderaan ini, dalam badan kenderaan ada ruang-ruang tertentu seperti di pintu atau beberapa bahagian lain. Di situlah dadah ini disimpan secara tersusun.
“Ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 28 hingga 53 tahun membabitkan dua lelaki dan seorang wanita, dengan seorang berasal dari negeri jiran manakala dua lagi dari Kuala Lumpur,” ujar beliau.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek wanita berperanan sebagai koordinator sindiket yang menguruskan tempahan dan pembayaran sebelum mengatur penghantaran bekalan dadah dari Semenanjung ke Sabah.
“Apabila dia menerima tempahan dan wang, dia akan membuat pesanan bekalan dari Semenanjung. Apabila sampai di sini, dia akan menyerahkan kepada beberapa individu lain untuk diedarkan.
“Dua lelaki yang ditahan pula dipercayai berperanan sebagai pengedar kepada pembeli-pembeli seterusnya,” katanya.
Menurut beliau, polis percaya ketiga-tiga suspek merupakan sebahagian daripada satu sindiket yang sama berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.
Beliau berkata, bentuk pembungkusan dan pelekat yang digunakan pada dadah berkenaan juga mempunyai persamaan dengan beberapa rampasan terdahulu termasuk satu kes yang dikesan di Tawau.
“Kita percaya ini adalah modus operandi yang sama.
“Kenderaan dibawa masuk melalui pelabuhan kapal pengangkut sebelum dadah diedarkan ke beberapa lokasi,” tambahnya.
Menurutnya, sebahagian dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan manakala selebihnya berkemungkinan dihantar ke luar negara.
