TAWAU: Seorang buruh binaan warga Indonesia terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya atas pertuduhan mengedar 523.3 gram dadah jenis methamphetamine, Februari tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Jhon Daton Petrus, 56, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh yang sebelum ini mengaku tidak dan memohon untuk dibicarakan.
Bagaimanapun ketika prosiding yang ditetapkan untuk menyambung perbicaraan di peringkat pendakwaan, yang memasuki hari ketiga selepas empat saksi dipanggil memberi keterangan, tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah.
Berikutan itu, mahkamah memutuskan tempoh pemenjaraan seumur hidup ditetapkan selama 30 tahun, manakala mahkamah mengecualikan tertuduh daripada hukuman sebatan atas faktor usia.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 523.3 gram di kawasan kebun sawit Onika Quarry, Jalan Air Panas Tiku, di sini, kira-kira jam 2.30 petang pada 26 Februari 2025.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Ketika rayuan mitigasi, peguam Jhassery P Kang yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan latar belakang tertuduh yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebulan ketika kejadian selain keadaan keluarga dan faktor usia.
“Pembelaan memohon supaya tertuduh tifak dikenakan hukuman mati dan hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup serta dikecualikan daripada sebatan atas faktor usia,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fellanny Siji memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta berat dadah yang terlibat.
Beliau turut berhujah bahawa kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi tertuduh.