TAWAU: Dua wanita warga asing dipercayai penagih dadah dicekup bersama sejumlah kecil syabu dalam Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, di sini, hari ini
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kedua-dua suspek berusia antara 35 hingga 44 tahun itu ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika operasi dijalankan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu daripada setiap suspek.
“Rampasan membabitkan dadah jenis syabu seberat 0.09 gram dan 0.10 gram.
“Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua wanita itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.
Katanya, BSJND Tawau akan terus mempergiat risikan bagi mengesan rangkaian pengedar serta sindiket dadah yang beroperasi di daerah ini.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah dan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah berkenaan,” katanya.