TAWAU: Polis menahan dua wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian gaduh sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda di sebuah restoran di Bandar Fajar, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan laporan polis yang dibuat wakil premis berkenaan.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila kedua-dua wanita terbabit, yang merupakan pelanggan restoran, bergaduh sebelum menyebabkan beberapa harta benda di premis itu rosak.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada BSJ IPD Tawau berjaya mengesan serta menahan kedua-dua suspek di tepi Jalan Haji Karim, Tawau.
“Kedua-dua suspek disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek merupakan warga asing yang berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan tiada sebarang rampasan dibuat semasa tangkapan,” katanya.
Wilynton berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.