TAWAU: Sebuah kereta jenis Fairlady antara dua kenderaan disita dalam Operasi Samseng Jalanan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) turut disita dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, operasi bermula kira-kira jam 10.30 malam hingga 2 pagi di T2 Jalan Apas, One Arena Jalan Chong Thien Vun dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Batu 2 Jalan Apas.
“Dalam operasi itu, kedua-dua kenderaan berkenaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk tindakan lanjut.
“Kedua-duanya akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pagi ini untuk tindakan susulan menerusi Operasi Extreme,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, keseluruhan 80 kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan membabitkan 30 motosikal, 30 motokar, 18 kenderaan 4WD dan dua lori.
Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap 64 individu terdiri daripada 45 lelaki dan 19 wanita.
“Sebanyak 14 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, pengubahsuaian ekzos, tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 dan tidak mempamerkan tanda ‘P’.
“Bagi motokar pula, tindakan diambil atas kesalahan pengubahsuaian ekzos serta penggunaan lampu selain warna putih, manakala sebuah kenderaan 4WD dikenakan tindakan kerana menggunakan kenderaan yang tidak sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, empat kenderaan turut diberikan advokasi membabitkan sebuah motokar dan tiga motosikal sebagai usaha meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan.
“Tiada tangkapan atau kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
“Polis Daerah Tawau akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung aktiviti samseng jalanan dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan demi keselamatan semua pihak,” katanya.