Polis mohon bantuan kesan kanak-kanak perempuan hilang di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Numbak Bakau di sini pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Nurjilya Abdullah, 11, berbangsa Bajau Ubian.

Menurutnya, Nurjilya dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 10 pagi pada 13 Julai lalu dan sehingga kini masih belum pulang.

“Kanak-kanak itu mempunyai ketinggian kira-kira 145 sentimeter, berbadan kurus dan tinggi, berkulit gelap, bermata coklat, berbulu kening tebal, berambut hitam pendek serta mempunyai bibir tebal.

“Ketika kali terakhir dilihat, dia memakai baju-T berwarna putih, seluar pendek berwarna kuning dan tidak memakai selipar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Nurjilya tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal atau mental.

Katanya, ahli keluarga bersama penduduk kampung telah menjalankan usaha pencarian termasuk membuat hebahan melalui kumpulan WhatsApp kampung dan keluarga, namun kanak-kanak itu masih gagal ditemui.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Nurjilya diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Luzee Irine Stephen di talian 014-7869365.

“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat dihargai bagi membantu mengesan kanak-kanak berkenaan,” katanya.