Kerajaan Negeri Komited Perkukuh Peranan Bapa Dalam Keluarga

PENAMPANG: Kerajaan negeri terus memperkukuh peranan bapa dan institusi keluarga menerusi pelaksanaan pelbagai program pendidikan, pembangunan komuniti serta sokongan kekeluargaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, usaha itu penting bagi membantu golongan bapa menghadapi cabaran ekonomi, emosi dan tanggungjawab dalam memimpin keluarga.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan kementerian lain serta agensi persekutuan, termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), bagi memastikan keluarga di Sabah menerima sokongan yang diperlukan.

“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited memperkukuh institusi keluarga melalui pelbagai program pendidikan keluarga, pembangunan komuniti dan sokongan kepada ibu bapa.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan keluarga di negeri ini mendapat sokongan yang diperlukan untuk membina kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 bertemakan ‘Sehebat Kasih Bapa’ yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta, di sini, pada Jumaat.

Julita berkata, sokongan kerajaan itu perlu disertai komitmen golongan bapa terutama dalam pembentukan fizikal dan emosi anak-anak.

“Bapa bukan sekadar penyedia nafkah, malah berperanan sebagai pembimbing, pelindung dan teladan dalam membentuk nilai, disiplin serta keyakinan diri anak-anak.

“Jadilah bapa yang hadir dalam kehidupan anak-anak dan jangan menjadi ‘absentee father’.

“Bapa bukan sahaja menyediakan keperluan material, tetapi perlu menjadi sumber sokongan emosi, bimbingan dan inspirasi kepada anak-anak,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa meluangkan masa makan bersama anak-anak bagi membuka ruang untuk berbual, mendengar permasalahan serta berkongsi visi keluarga. 

Program anjuran LPPKN itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk acara riadah, pemeriksaan kesejahteraan lelaki, pameran dan wacana minda. 

Hadir sama, Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Abdul Shukur Abdullah, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Rosmawati Lasuki, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail dan Pengarah LPPKN Negeri Sabah, Shahariah Saharom.