KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial yang mendakwa berlaku penahanan dalam keadaan sesak sehingga mengakibatkan ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia di Depot Tahanan Imigresen di negeri ini.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dakwaan itu adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.
Menurutnya, gambar yang tular di media sosial juga bukan gambar yang merujuk kepada mana-mana Depot Tahanan Imigresen di bawah seliaan JIM Sabah.
“Semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Negeri Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.
“Sepanjang tempoh tahanan, semua penghuni depot diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, tahanan turut disediakan kemudahan asas termasuk makanan mengikut jadual yang ditetapkan serta menu dan keperluan nutrisi yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, mereka juga diberikan akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan selain keperluan asas lain mengikut keperluan.
Mengulas proses penghantaran pulang tahanan warga Filipina, beliau berkata, operasi kapal dari Sandakan ke Zamboanga yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari lalu.
“Situasi itu memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.
“JIM Sabah kini menggunakan laluan alternatif iaitu melalui penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.
“Bagaimanapun, penghantaran pulang melalui laluan alternatif itu tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan,” katanya.
Beliau menegaskan, JIM Sabah kekal komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang serta melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa Republik Filipina.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat, gambar dan kandungan yang tidak sahih, sebaliknya mendapatkan maklumat tepat melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.